my theory12
my theory12
Antara Tanggungjawab Asasi dan Tanggungjawab Keperluan
Baru tadi saya ditanya seorang tokoh yang saya hormati. Beliau bukan sahaja lebih tua daripada saya, lebih dalam ilmu dan luas pandangannya malahan telah terbukti banyak jasanya pada masyarakat.
Soalannya nampak ringkas dan senang: Mengapa awak suka ke sana dan ke sini? Kenapa tidak tumpukan saja kepada pelajaran apatah lagi dalam keadaan personal yang kurang elok?
Belum sempat saya mengumpul idea dan menyunting isi, persoalannya menjadi lebih khusus dan menjurus ke arah pemikiran saya.
Adakah awak menganggap bentuk kehidupan dan pembelajaran yang awak alami adalah terlalu market-oriented, bermodalkan kapitalisme dan terlalu naif dalam menilai kehidupan sebenar?
Bicara soal 'pemikiran saya' adalah suatu hal yang rumit dan sukar. Ditimbuni buku-buku baru dan kehidupan harian yang sarat pengalaman membuatkan pemikiran saya sentiasa bergerak dan sukar untuk pegun pada suatu pendapat. Sukar hendak dikategorikan bahawa saya ini berpemikiran sistematik, kreatif, lateral, logika atau sistemik.
Berbalik pada persoalan yang ditimbulkan, saya memang punya satu bias terhadap sistem pendidikan moden. Benarlah dengan ilmu saya yang cetek, saya masih belum mampu meninjau kefahaman secukupnya mengenai falsafah pendidikan negara. Namun saya yakin bahawa modul yang disediakan oleh pembina sistem pendidikan Malaysia masih belum cukup untuk menjadikan saya mencapai tahap keintelektualan yang jitu dan pada masa yang sama punya karisma dan kaliber sebagai pemimpin yang berjaya.
Oleh sebab pendidikan di negara kita semakin 'berkategori' dan semakin bercabang-cabang, sudah hilang kemungkinan untuk adanya 'lintas-jurusan' dalam pembelajaran di Malaysia. Seorang pakar undang-undang sudah jadi mustahil untuk menjadi pakar komputer pada masa yang sama dan beliau tidak pula berasa bersalah dan kekurangan dengan hal itu. Sudah cukup bertuah untuk kita melihat seorang tokoh mahir dalam 2 atau 3 bidang di dunia zaman sekrang dan konsep pengkhususan sudah dijadikan dalil untuk kejahilan.
Saya faham bahawa pengkhususan akademik membolehkan wujudnya pakar dalam sesuatu bidang. Seseorang itu akan benar-benar mendalam ilmunya dan layak membicarakan topiknya. Namun rasa khuatir saya adalah pada bias yang dihasilkan oleh ilmuwan yang hanya mahir dalam satu bidang sahaja. Penumpuan teramat dalam satu bidang dengan tidak langsung akan menutup pandangan seseorang dengan pandangan melalui pemahamannya sahaja. maka tidak hairanlah manusia hari ini boleh saling salah bantah-membantah antara satu sama lain dan perbuatan mereka saling menyanggah antara satu sama lain. Ini kerna tiada konsep holistik (kesempurnaan) dalam pembelajaran mereka.
Bidang sekunder yang diamalkan oleh sistem pendidikan negara belum cukup untuk memahami fungsi sesuatu bidang lain dengan baik dan jelas. Kerapkali ia hannya sekadar 'tempelan untuk percakapan'. Jika tuduhan jumud (berfikiran sempit) dan taksub(fanatik) seringkali dilemparkan kepada ilmuwan islam dan ulama' maka sebenarnya bukanlah suatu yang rahsia bahawa profesor-profesor, doktor-doktor dan saintis-saintis juga jumud dan taksub. Mereka sering taksub dengan kehebatan dan ketinggian ilmu mereka tanpa mahu memahami fungsi ilmu lain. Dengan hanya melihat daripada satu disiplin ilmu, kerapkali vakum kebodohan akan muncul kerna bahagian kekosongan itu tidak disentuh dalam bidang ilmu mereka.
Saintis Barat meninggalkan agama apabila 'konsep kewujudan' ditakrifkan melalui 'indera' dan 'akal'. Dalam ruang dan kefahaman sains Barat, tuhan tidak diperlukan kerna Dia tidak ada tempat dalam hukum sebab dan akibat. Begitu juga wujud golongan-golongan melampau dalam agama kerna kegagalan mengkaji dan mentafsir melalui ilmu-ilmu yang memenuhi naluri kemanusiaan.
Bagi saya, tugas 'menjadi sukarelawan' atau 'menulis sesuatu tentang kehidupan' atau 'membaca buku-buku baru' adalah tugas asasi kemanusiaan. Ramai manusia gagal dalam menakrifkan konsep keperluan, kehendak dan asasi. Manusia yang paling lemah sentiasa memenuhi kehendak, sederhana akan memenuhi keperluan dan yang paling tinggi akan memenuhi tugas asasi manusia.
Dalam takrifan biasa hanya wujud 'keperluan' dan 'kehendak'. Namun pabila hidup dalam dunia serba kompleks ini manusia telah terbabas untuk meletakkan 'asasi' dan 'keperluan' sebagai suatu yang setara kerna manusia zaman ini terlalu dipengaruhi. Dunia dan persitiwa bergerak terlalu cepat, terlalu banyak input baru dan penimbunan ini membuatkan manusia mengikuti sahaja 'keperluan semasa' tanpa punya masa termenung seketika dan berfikir semula tentangnya.
Ramai berhujah bahawa ke sekolah itu adalah wajib dengan alasan menuntut ilmu itu adalah wajib. Ramai juga berhujah mereka tidak ke universiti untuk mendapat kerja tapi untuk mendapat ilmu. Maka pada fahaman saya manusia zaman ini punya kebolehan berhujah dan berdalil yang tinggi hinggakan berjaya mengelirukan diri sendiri.
Ilmu adalah wajib. Dan ilmu itu adalah segala sesuatu yang mebolehkan 'manusia mengenal sesuatu yang lain'. Dan ilmu yang bermanfaat itu 'ilmu yang mengenalkan manusia dengan tuhan'. Sejuta manusia telah berhujah dengan saya bahawa melalui sains mereka telah meningkatkan iman mereka. Maka Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada mereka kerna memperolehi keimanan dan ilmu melalui cara tersebut.
Mengenal tuhan adalah dengan hati. Sekadar menjadi kakak tua dan mengulang frasa 'aku kenal' itu tak membuktikan apa-apa. Melalui perjumpaan saya dengan manusia, melalui pengalaman saya bertemu dengan alam dan melalui buku-buku bukan teksual (dimaksudkan buku teks), saya telah benar-benar belajar mengenali tuhan. Adakah saya sudah benar-benar kenal adalah kisah yang lain, namun jelasnya usaha saya ke situ.
Berada dalam dunia sebenar, bukan sekadar dunia kampus memahamkan saya cara hidup dunia dan perilaku saya untuk terus hidup secara efektif di dalamnya. Dunia sebenar tidak mempunyai tangan-tangan belakang yang membantu kita dalam diam. Kalau bukan kita, tak ada siapa yang lain. Dunia yang sebenar juga menjatuhkan dengan kejam bukan saja melalui kiasan.
Menjadi seorang intelektual bukanlah bermakna anda mampu memberi komen 'indah' dan 'ilmiah' untuk setiap peristiwa yang berlaku, malahan punya cadangan membina untuk membaikinya sesuai dengan keadaan. Konsep 'berdebat' dan 'berforum' yang diamalkan oleh dunia akademik hanyalah suatu lakonan dunia elitis yang cuma hebatnya untuk tontonan.
Lebih daripada itu, alam lebih mengajar saya makna kepimpinan. Bahkan kuliah-kuliah 'management' adalah terlalu berteori dan sejujurnya terlalu sukar untuk diadaptasi dalam kehidupan.
Hidup adalah kemampuan untuk sentiasa mampu menyelesaikan tugas kemanusiaan secara berkesan dan sedar. Hidup terlalu pantas sebenarnya dan tidak mampu untuk dirujuk dan dikaji panjang untuk menentukan betul atau salah sesuatu tindakan. Masa dan tempat terlalu mempengaruhi benar salahnya sesuatu.
Pun begitu, tindakan saya yang hinggakan meninggalkan kuliah universiti semata-mata mahu terlibat dalam 'kuliah alam ' adalah tidak betul dan tidak patut dicontohi. Begitu juga saya begitu devian dalam melawan sesetengah tindakan yang tidak saya setujui juga adalah tidak betul. Banyak hal yang boleh dilakukan sebenarnya untuk mendapat manfaat daripada kehidupan kampus dan kehidupan dalam dunia yang luas. Secara sekaligus bukan abai-mengabaikan.
Mungkin lebih lanjut mengenai sistem pendidikan moden nanti. Insyaallah